Sunday, November 15, 2009

Amalan Pertanian Baik-APB, (Good Agricultural Practices - GAP)

Amalan Pertanian Baik- APB, adalah satu cara mengurus ladang pertanian (tanaman, ternakan dan perikanan) yang berasaskan prinsip dan piawaian minimum amalam mengurus dan mengendali ladang pertanian yang perlu disediakan dan diamalkan oleh pengusaha. Penerapan amalan ini bermula dari peringkat perancangan dan pembangunan ladang, pengurusan sumber dan pemasaran hasil pertanian.
Garis panduan amalan ini membolehkan ladang diuruskan lebih sistematik, cekap sehingga satu piawaian kualiti dicapai. Ladang yang menerapkan amalan ini akan menentukan produktiviti ladang dioptimumkan, hasil ladang berkualiti dan selamat dimakan, kebajikan pekerja terpelihara dan kesejahteraan alam sekitar dijaga.

Objektif Amalan Pertanian Baik (APB)
Memberi kesedaran dan pengetahuan kepada pengusaha di Malaysia tentang kepentingan GAP dalam menghasilkan hasil pertanian yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan dan memenuhi ciri-ciri keselamatan serta piawaian antarabangsa dan pada masa yang sama tidak menjejaskan alam sekitar

Memberi kesedaran dan pengetahuan kepada pengusaha tentang cara-cara penggunaan racun perosak, baja kimia dan ubat-ubatan yang betul.

Memberi pengetahuan dan kesedaran kepada orang ramai dan pengguna tentang faedah membeli hasil pertanian yang dikeluarkan oleh ladang-ladang yang diberi pengiktirafan persijilan, dan

Memberi pengetahuan, kesedaran, kemahiran dan pengiktirafan kepada pengusaha ladang pertanian yang mengamalkan GAP melalui program persijilan seperti Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM).




Faedah Amalan Pertanian Baik (APB)
Pengusaha yang mengamalkan APB akan menikmati faedah seperti berikut:
Memastikan produk pertanian dari ladang memenuhi tahap keperluan piawaian keselamatan yang minimum di peringkat pasaran domestik dan luar Negara.
Memastikan produk dari ladang pertanian berkualiti
Menggalakkan dan meyakinkan penerimaan pengguna ke atas produk-produk pertanian keluaran ladang domestik.
Membantu membangunkan industri pertanian negara secara mesra alam dan mampan, dan
Meningkatkan produktiviti dan pendapatan pengusaha